Hari-hari akhirku di Kalamazoo begitu kelamkabut dan harubiru. Ia berlaku dengan pantas dan tanpa diduga. Sebaik saja aku menghabiskan kertas akhir peperiksaan semester terakhir musim panas di WMU, aku mendapat surat dari University Drake, Des Moines (sebutannya ialah Dimoi), ibu negeri negeri Iowa, bahawa aku sudah ditawarkan tempat utk ijazah sarjana MBA. Pendaftarannya ialah lusa! Bayangkan, aku belum lagi menerima segulung ijazah pada hari Konvo WMU yang dijangka berlangsung 3 bulan lagi. Terduduk aku sekejap dibuatnya, kerana jarak antara Kalamazoo, Michigan ke Des Moines, Iowa ialah 700KM. Aku segera menghubungi sahabat-sahabat ikhwah di bandar Ames, Iowa (lebihkurang 45KM sahaja) dan berita gembira, mereka akan datang menjemputku dari Kalamazoo. Ini kerana kereta yang aku kongsi bersama KM, terpaksalah aku tinggalkan kepada beliau dan aku akan membeli kereta yang lain sebaik saja tiba di Des Moines (sebutan yang tepat ikut slang amerika, DiMoi).
Yang paling kecewa ialah ukhti A di Kelantan, keluarganya dan keluargaku di kampung. Mengikut perancangan, aku dijangka pulang sekejap ke Malaysia sebaik saja tamat pengajian BBA di Kalamazoo, utk majlis pertunangan kami berdua. Namun, permohonanku utk pulang dengan JPA dan UiTM telah ditolak kerana mereka mahu aku segera memulakan pengajian MBA sebaik saja tamat pengajian BBA di Kalamazoo. Kelamkabut ini berlaku kerana universiti-universiti di US ada sistem dan jadual mereka yang tersendiri. Aku segera menalipon ukhti A, kepulangan ku ke Malaysia terpaksa di batalkan di saat akhir kerana tidak mendapat kelulusan penaja, aku juga sudah berjaya diterima masuk ke pengajian MBA tiga hari selepas peperiksaan akhir di Kalamazoo, di mana aku langsung tiada rehat. Ukhti A merasa amat kecewa, begitu juga keluarganya yang sudah bersedia untuk kenduri pertunangan pasangan made in USA, tapi apakandaya, ianya tidak kesampaian. Maka majlis pertunangan kami terpaksa dibatalkan!
Dalam keadaan berkecamuk, aku segera mengemas barang-barang, terutamanya kitab-kitab dan nota-nota usrah kerana terpaksa meninggalkan Kalamazoo dengan kadar segera untuk mengejar tarikh pendaftaran di University Drake pada lusanya. Sahabat-sahabat Ikhwan dari Ames tiba dengan dua buah station wagon, empat orang semuanya, akhi SS, akhi K, NZ dan HY. Selepas fajar, sebaik saja tamat solat subuh di Kalamazoo, aku berpelukan dengan kebanyakan yg hadir, yang paling syahdu ialah dengan AJK Mesjid, terutama syaikh Muhammad, Imam no satu dan setia usaha KIC (kazoo islamic centre), bro Omar Mutakallim, brothers MISG dan komuniti, maka aku ditakdirkan meninggalkan Kalamazoo dalam keadaan bergegas. Akhirnya, selepas dua tahun genap bermastautin di WMU, aku memilih untuk mengucapkan sayonara kepada semua.Di pekarangan rumah sewa milik bro KM di Kazoo, 100 Western Avenue, disaksikan oleh ikhwan Kalamazoo dan beberapa brothers MISG, aku bertolak ke Bandaraya Des Moines untuk memulakan sebuah travelog baru di negeri Iowa, 700KM dari Kalamazoo.
Selamat tinggal Kalamazoo..
Tamat travelog siri 1-50 di Kalamazoo, Michigan.
Siri 51-100 travelog di Des Moines, Iowa, USA
No comments:
Post a Comment