Tuesday, April 3, 2012

Travelog USA 57: Tsunami Cinta 1.0


Selesai sudah pertunangan, masing-masing keluarga sudah mencongak tarikh perkahwinan terhebat di penghujung tahun nanti untuk majlis akad dan walimah al-urs. Masing-masing keluarga berbangga sekali kerana kami sekufu dari segi akademik, sama-sama menuntut di USA walaupun tidak sekufu dari segi ekonomi. namun, demi kebahgian kami, mereka sanggup melupakan itu semua. Kami rancak berutus surat dan aku dapat rasakan kehangatan hubungan kami selepas bertunang. Semua pihak sedang menunggu saat-saat indah dan bahagia. Namun Tuhan merencanakan sebaliknya.

Kepimpinan jamaah IM Malaysia telah memutuskan, Tamrin besar berserta Muktamar Thanawi akan diadakan sempena cuti Krismas nanti dan Timbalan Mursyidul Am sendiri akan datang ke USA iaitu Dr AS. Majlis syura USA memutuskan bandar hos (host city) tamrin thanawi tahun itu akan di adakan di Des Moines (demoi), Iowa. Ia bagaikan sebuah gempa bumi dan tsunaminya bakal melanda Malaysia dan Kelantan tak lama lagi.


Aku segera mengutus surat kpd tunangku dan menjelaskan kemungkinan besar majlis walimah al-urs sempena cuti Krismas nanti terpaksa dibatalkan kerana aku dikehendaki mengendalikan Tamrin dan Muktamar tahunan dan ia akan diadakan di Des Moines. Maka aku dengan halus meminta tunangku mempertimbangkan samada ingin hidup dan mati bersama dakwahku atau kemungkinan pertunangan itu mungkin akan berkecai. Aku juga mengutus sepucuk surat kepada bakal mertuaku dan menjelaskan kemungkinan aku tidak dapat balik sempena cuti Krismas kerana ada banyak komitmen pelajaran dan dakwah. Aku juga menghubungi IM Kelantan, khususnya para akhowat agar datang menziarahi tunangku dan menjelaskan kepentingan dakwah dan jihad haraki yang lebih penting dari segala-galanya. Mereka telah memainkan peranan mereka dengan datang menziarahi tunangku. Di sana nampaknya, hanya ada satu pilihan saja, yakni Ukhti A terpaksa segera datang ke US dan kami perlu segera berkahwin di sini untuk menjayakan tamrin di Des Moines. Beberapa pucuk surat berikutnya, aku dapati, tunangku nampak semakin pulih semangatnya dan mula menyokong dan ingin membantuku untuk menjayakan Tamrin kali ini di Des Moines walaupun keluarga beliau amat keras membantah kerana telah beranggapan aku telah mempermainkan anak dara mereka dan tidak bersungguh-sungguh untuk kembali mengambil anak dara mereka dari tangan mereka sendiri.
Aku memang sedih dan perihatin dengan perasaan mereka. Ibu mana yang sanggup melepaskan anak daranya ke tangan lelaki yang belum pernah dia lihat, ayah mana sebagai wali yang sanggup melepaskan anak perempuannya kepada lelaki tanpa melihat akad nikah berlaku di hadapannya dan disaksikan oleh mata kepalanya sendiri. Aku memahami semua itu, tapi jauh disudut hatiku, aku mengadu kepada Tuhan tentang keadaan kewanganku yang semakin kering dan Tamrin yang bakal diadakan nanti amat penting untuk dakwah IM di USA.
Sesungguhnya, ini suatu gempa bumi dan tsunami yang telah melanda kami berdua dan keluarga kami. Namun, hubunganku dengan tunangku semakin kuat dan komited dengan dakwah dan dia memberi jaminan akan berusaha menghadapi keluarganya sedaya mungkin utk melepaskan kami berkahwin di Amerika.
---------------------------------------------------
*Muktamar Thanawi adalah perhimpunan agung pergerakan brotherhood, ia bertujuan memantapkan kemahiran organisasi
**Tamrin ialah Latihan intensif dan gerakkerja dalam kumpulan (semacam seminar) pergerakan brotherhood. Ia bertujuan memantapkan manhaj dan fikrah Islam Haraki.

No comments: