Friday, April 6, 2012

Travelog USA 58: Tsunami Cinta 2.0

Pemandangan musim Luruh (autum/Fall) di Iowa
 Semester Fall atau musim Luruh di Des Moines (DSM), Ibukota Iowa, sudah hampir tamat. Kepimpinan Jamaah IM Malaysia sudah mengesahkan kedatangan Naib Mursyidul Am ke USA untuk slot pengisian utama Muktamar dan Tamrin Thanawi. Ia akan berlangsung sempena cuti Krismas di DSM. DSM dipilih kerana dua tiga sebab, seluruh kepimpinan USA sudah stabil di bawah mas'uliahku, kedua, kedudukan DSM yang strategik di tengah-tengah USA dan ketiga, kedudukanku sebagai Imam Mushalla DSM membolehkan program dapat diadakan di mushalla.
Setelah mendapat persetujuan dari tunangku, akhirnya aku mengutus surat resmi kepada bakal mertuaku menyatakan bahawa aku sudah sahih tidak dapat pulang ke tanah air untuk majlis perkahwinan kami di Kelantan. Dengan itu aku meminta keizinan watikah Wali Hakim agar kami dapat melangsungkan perkahwinan di sini. Bakal Bapak mertuaku membalas surat tersebut dan menyatakan kekecewaannya, namun dengan hati yang amat berat beliau sanggup memberi keizinan untuk kami berkahwin tanpa kehadiran mereka secara fizikal. Bakal ayah mertuaku menceritakan bagaimana sedihnya bakal emak mertuaku yg beliau tidak dapat nak nyatakan dalam surat tsb.
Ya, aku dapat bayangkan bagaimana sedihnya hati seorang ayah (dan khususnya seorang ibu) yang akan melepaskan anak daranya ke tangan seorang lelaki yang tidak pernah dia jumpai. Ini suatu yang menakjubkan, bagaimana Allah melembutkan hati manusia. Aku anggap suatu yang ajaib atau semacam karamah dari Tuhan bagaimana sepasang ibubapa sanggup memberi keizinan untuk perkahwinan anaknya di seberang laut.
Aku juga mendapat maklumbalas dari keluargaku, khususnya Ibuku, yang amat sedih kerana aku tidak dapat balik, hajatnya juga tidak kesampaian untuk menyaksikan hari kebahagiaan kami di hadapan mata kepalanya. Aku merupakan satu-satu anaknya yang mendapat pendidikan paling tinggi dan merupakan kebangggannya.  Namun, apakandaya, aku amat kenal akan ibuku, dia amat kuat semangat, walaupun dia seorang ibu tunggal, namun ia sudah biasa dengan kesedihan dan kekecewaan.
Ya, aku memang terkilan, aku telah mengecewakan semua orang. Aku membuatkan semua pihak dalam kesugulan. Namun, aku amat yakin dengan ketentuan Allah, kemungkinan Allah ingin menguji siapakah tunangku yang sebenar. Mampukah dia menjelma menjadi bidadari yang akan memenuhi bukan sahaja hajatku, malah seluruh IM USA yang sedang menunggu seorang serikandi untuk menguatkan kepimpinan jamaah di saat yang amat memerlukan.
Namun, aku terpaksa menunggu kerana permohonan Pinjaman MARA beliau masih belum diketahui. Inilah satu-satunya peluang ukhti A ke USA ialah dengan tiket pinjaman tersebut. Jika pinjaman Mara gagal diperolehi, maka harapanku berkahwin di USA akan berkecai, pertunangan kami terpaksa diputuskan dan aku tidak dapat membayangkan bagaimana aku akan mengendalikan Tamrin Thanawi di DSM jika aku tidak memiliki seorang isteri. Sebagai host, aku perlukan isteri untuk mengendalikan bahagian wanita nanti semasa tamrin. Aku banyak sekali bermunajat memohon agar Allah memberi jalan keluar, menukar segala kedukaan menjadi kegembiraan bagi semua pihak. Niatku ikhlas, aku tidak ada sebarang niat mengecewakan sesiapa, tiada niat berkahwin free dan tiada niat akan menimbulkan kesedihan kepada kedua keluarga kami. Pada masa itu, cintaku kpd dakwah begitu memuncak dan aku memang mengharapkan sesuatu maunah (bantuah) dari langit.
Gambar hiasan

No comments: